Tuesday, December 1, 2009

Im On Utusan Malaysia! (28/11/09)

Terkejut bila dapat tau yang Kelab Kmebara aku msk news utusan malaysia Sabtu lpas.. Hr nie br dpt tau.. so x sempt la nk beli paper tu.. Sib baik ada utusan-online, blh jgk bace berita psl trans-circle tu. Check it out!

Cabaran Trans-Circle

SASARAN kami anggota Kelab Kembara & Rekreasi Universiti Tenaga Nasional, Kampus Putrajaya pada musim cuti yang lalu adalah untuk menakluk salah satu daripada puncak tertinggi di Banjaran Titiwangsa, iaitu Gunung Yong Belar.

Tanpa persediaan rapi tidak ramai yang sanggup menyahut cabaran Trans-Circle apatah lagi untuk mendaki ke puncak Yong Belar pada ketinggian 2,187 meter dari paras laut (dpl).
Perjalanan dimulakan dari Empangan Blue Valley, Cameron Highland melalui Kem Tudung Periuk dan Kem Kasut. Ekspedisi kami kali ini dianggotai oleh 40 peserta terdiri daripada 14 kru, 25 pendaki baru, seorang pegawai pengiring dan seorang penunjuk arah.

Cabaran pada hari pertama adalah laluan mendaki yang licin kerana hujan turun sepanjang hari dan sememangnya hutan itu menerima jumlah hujan yang tinggi sepanjang tahun.
Mendaki dalam keadaan sejuk benar-benar menguji kekuatan mental dan fizikal terutama di kalangan pelajar yang baru berjinak dalam aktiviti mendaki gunung. Tetapi dengan keazaman yang dimiliki, semua cabaran dapat dilepasi satu per satu.

Walaupun agak mencabar, perjalanan tidak pernah sunyi daripada gelak dan ketawa. Ada sahaja perkara yang dibual dan dijadikan bahan lawak bagi mengurangkan tekanan.
Berbeza dengan pendakian gunung-gunung tidak berstatus G-7 (lebih 7,000 kaki), pendakian ke puncak ketiga tertinggi di Semenanjung Malaysia itu menjanjikan pengalaman yang sukar dilupakan.

Kawasan lembab dan laluan yang berangin memberi lebih cabaran kepada peserta untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang sejuk.
Bagaimanapun keindahan lumut-lumut hijau yang menyelaputi batang dan dahan-dahan 'pokok tua' di sepanjang laluan seperti mendorong kami untuk naik lebih tinggi ke arah puncak.

Selepas dua hari berhempas-pulas meredah laluan mencanak, berselut dan permukaan tanah yang dipenuhi akar-akar pokok, akhirnya peserta tiba di puncak Yong Belar.
Kami bernasib baik kerana keadaan pada pagi itu tidak banyak berkabus. Pemandangan yang disajikan di puncak membuatkan kami terpukau seketika. Terpancar kepuasan pada wajah peserta, segala keperitan yang dilalui sebelum itu seperti sudah hilang daripada kotak fikiran mereka.

Pada hari ketiga, destinasi yang dituju adalah Kem Gurkha. Perjalanan selepas puncak Yong Belar ke kem itu melalui kawasan permatang yang mempunyai beberapa cerun dan gaung yang berbahaya. Dengan pengalaman kru pendakian, perjalanan dipantau dengan baik.
Perjalanan semakin mencabar apabila hujan turun sepanjang hari ditambah dengan ketiadaan penunjuk arah di beberapa laluan turun naik di situ. Beberapa peserta kelihatan duduk berhimpit-himpit ketika berehat di beberapa checkpoint untuk mengekalkan suhu badan.

Pemandangan pada hari ketiga tidak begitu memuaskan kerana jarak pandangan yang agak terhad kerana laluan dilitupi kabus tebal. Kira-kira pukul 9 malam, kumpulan terakhir berjaya tiba di Kem Gurkha.
Di kalangan pendaki gunung berpengalaman, Kem Gurkha terkenal dengan kisah-kisah misteri dan mistik. Pemandu kami, Botak Jumbo turut berkongsi nasihat kepada para peserta supaya menjaga perilaku di kawasan itu bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Sempadan tiga negeri

Cuaca pada keesokan hari terakhir cukup cerah. Riak wajah para peserta jelas menunjukkan perasaan gembira dan tidak sabar untuk menyaksikan keindahan yang menunggu di depan mereka.

Perjalanan di kawasan permatang melalui beberapa puncak termasuk puncak Charlie. Dari situ, jelas tersergam gunung Yong Belar dan beberapa puncak di Titiwangsa.
Selepas beberapa jam, peserta berkumpul dan berhenti rehat di puncak batu yang merupakan sempadan tiga buah negeri iaitu Pahang, Kelantan, dan Perak.
Pemandangan di situ adalah kemuncak sepanjang ekspedisi kali ini. Kami berpeluang menyaksikan pemandangan seluas 360 darjah yang turut dihiasi dengan lengkungan pelangi yang cukup cantik.
Perjalanan dari puncak batu sempadan menuju ke Empangan Blue Valley mengambil masa yang sangat panjang. Selepas maghrib, peserta bersedia dengan lampu suluh masing-masing untuk meneruskan perjalanan.

Kehadiran 'pak belang'


Semasa perjalanan dalam hujan lebat, deria bau kami mengesan bau yang agak pelik. Bau hamis itu tidak lain dan tidak bukan adalah bau harimau. Wasangka kami disahkan dengan penemuan beberapa kesan tapak kaki haiwan berkenaan yang ditemui di laluan yang kami gunakan.

Botak Jumbo mengarahkan kami meneruskan perjalanan dan sentiasa berada dalam keadaan bersedia. Namun, tidak ramai yang diberitahu mengenai kehadiran 'pak belang' itu, takut ada yang akan panik.

Selepas beberapa jam mengharungi saat-saat getir pada malam terakhir, peserta akhirnya tiba di empangan Blue Valley kira-kira pukul 11 malam. Ekspedisi menakluk Yong Belar akhirnya menjadi kenyataan melalui pengalaman selama empat hari empat malam yang pastinya sukar dilupakan.

Untuk makluman, Kelab Kembara & Rekreasi Universiti Tenaga Nasional ditubuhkan pada 1999 dengan 600 ahli berdaftar. Selain mendaki, ahli juga aktif dalam aktiviti memanjat tembok.

4 comments: